Kerajaan harap peniaga kurangkan harga barang
PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel turun 15 sen seliter lagi berkuat kuasa hari ini, manakala harga siling beras Super Tempatan (ST) lima peratus serta 10 peratus hancur dikurangkan antara 20 dan 30 sen sekilogram, mulai kelmarin. Penurunan harga bahan api itu adalah yang kelima sejak Ogos lalu, manakala pengurangan harga siling beras pula yang pertama dilakukan sejak harga barangan makanan berkenaan dikawal kerajaan Mei lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata harga petrol RON97 kini RM2 seliter, RON92 pula RM1.90 seliter, manakala diesel RM1.90 seliter. Dalam kenyataannya semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan mengambil keputusan mengurangkan lagi harga runcit petrol dan diesel sejajar dengan penurunan harga minyak dunia yang berterusan. Beliau berkata, kerajaan turut berharap peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang supaya rakyat mendapat manfaat sepenuhnya berikutan penurunan terbaru harga bahan api itu.
"Kita juga berharap pengguna akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harganya sudah menurun beberapa bulan lalu. Ini selaras dengan hasrat kita memastikan penggunaan tenaga yang efisien," katanya. Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, dalam kenyataannya mengumumkan harga siling baru beras ST lima peratus diturunkan daripada RM2.80 kepada RM2.60 sekilogram, manakala ST 10 peratus hancur dikurangkan kepada RM2.40 sekilogram berbanding RM2.70 sekilogram sebelum ini. Beliau berkata, penurunan harga itu diwartakan kelmarin dan berdasarkan pemantauan kementerian, pengusaha pasar raya sudah pun menurunkan harga beras berkenaan. Bagaimanapun, katanya, masih ada beberapa kedai runcit yang menjual beras itu pada harga lama.
Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil mengikut Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) 1992 terhadap peruncit yang menjual beras berkenaan melebihi harga siling itu. Harga beras ST5 dan ST10 mula dikawal pada Mei lalu berikutan kenaikan harga beras di pasaran dunia. Sebelum itu, kerajaan hanya mengawal harga beras ST15 sejak 1998.
1 comment:
bagus betul mcm nie. harap2 nanti turun le lagi.. jimat sikit duit..
Post a Comment